suria

Tiada Kawasan Catat Bacaan IPU Tidak Sihat

KUALA LUMPUR: Kualiti udara dilapor baik apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar pada pukul 7 pagi Isnin menunjukkan tiada kawasan merekod IPU tidak sihat.

Pelabuhan Klang, Shah Alam, Petaling Jaya, Kuala Selangor, Cheras dan Batu Muda, yang merekod IPU tidak sihat pada 7 pagi semalam, masing-masing mencatat bacaan IPU sederhana pagi Isnin.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar, www.doe.gov.my, tiada kawasan di Malaysia yang mencatat bacaan sangat tidak baik dan berbahaya dengan 88 peratus kawasan di seluruh negara berada pada tahap bacaan IPU sederhana dan 12 peratus di tahap baik.

IPU pada tahap antara 0 dan 50 adalah baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 301).

Menurut laporan sebelum ini, kemerosotan kualiti udara yang dialami di Lembah Klang kebelakangan ini disebabkan pencemaran jerebu merentas sempadan dari Sumatera, Indonesia.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan di beberapa tempat di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur petang Isnin.

Menurut laman web jabatan itu, Malaysia kini dilanda Monsun Barat Daya yang menyebabkan keadaan cuaca panas dan kering, dan ia dijangka berterusan sehingga September. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain