suria

PRU: Mukhriz Sedia Terima Apa Jua Keputusan Pucuk Pimpinan BN

PUTRAJAYA: Anggota Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, beliau bersedia untuk menyahut sebarang keputusan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk beliau pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

"Saya tidak fikir ia sudah diputuskan sama ada saya bertanding kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN)...dari segi persediaan, saya sudah umumkan bahawa saya tidak bermasalah dengan mana-mana keputusan.

"Sekiranya pucuk pimpinan BN berasa saya perlu kembali untuk bertanding kerusi DUN di Kedah, saya tidak bermasalah dengan itu. Sekiranya mereka kata saya perlu duduk di peringkat persekutuan, saya juga tidak bermasalah.

"Secara alternatif, sekiranya mereka berkata saya tidak akan bertanding sama sekali, ia juga OK dengan saya," katanya.

Masa depan saya terletak sama sekali di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, katanya kepada pemberita selepas merasmikan sebuah program keusahawanan sempena Himpunan Jutaan Belia di sini Khamis.

"Saya seorang ahli parti terlebih dahulu...jadi saya akan ikut arahan," kata Mukhriz, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Katanya, beliau percaya perdana menteri menerima banyak input sama ada seseorang calon itu boleh menang atau sebaliknya.

Mengulas spekulasi bahawa beliau akan menjadi Menteri Besar Kedah sekiranya BN merampas semula negeri itu pada PRU ke-13, seperti dilaporkan oleh media, Mukhriz berkata, ia hanya khabar angin.

"Ia berupa spekulasi semata-mata dan juga terlalu awal. Soal pelantikan menteri besar hanya boleh ditentukan selepas pilihan raya," jelasnya.

Media memetik seorang sumber dalaman parti sebagai berkata Mukhriz dipercayai merupakan calon terbaik untuk jawatan menteri besar kerana beliau popular di kalangan pengundi berusia bawah 50 tahun.

Bagaimanapun, Mukhriz berkata, kajian terbaru menunjukkan faktor belia bukan menjadi kriteria utama untuk dipilih sebagai calon.

Katanya, pengundi muda inginkan calon yang mempunyai kriteria mudah didekati dan mampu menyelesaikan masalah mereka sama ada di bandar atau kawasan luar bandar.

Bagaimanapun, katanya, pembangkang tidak boleh lagi memerintah kerajaan negeri Kedah dan mereka tidak menyelesaikan semua masalah malah menimbulkan lebih banyak masalah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain