suria

Perbicaraan Kes Dadah Lelaki Australia Dipindahkan Ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR: Perbicaraan bagi kes seorang lelaki rakyat Australia yang berdepan hukuman mati kerana mengedar 167.8 gram dadah pada Isnin dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan.

Dominic Jude Bird, 32, dituduh mengedar dadah jenis methaphetamine di Old Town White Coffee, di Jalan Yap Kwan Seng, di sini, pada 4.15 petang, 1 Mac.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tiada rayuan direkodkan apabila pertuduhan dibacakan ke atas tertuduh.

Peguam Bird, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah mengadu kepada mahkamah bahawa peguam-peguam bela tidak dimaklumkan apabila tertuduh didakwa di mahkamah. Tertuduh dibawa ke mahkamah buat kali pertama pada 9 Mac.

Katanya keempat-empat peguam bela termasuk beliau hadir semasa proses reman tetapi polis tidak membenarkan mereka bertemu anak guam mereka yang didakwanya melanggar Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan.

Muhammad Shafee memberitahu mahkamah bahawa Suruhanjaya Tinggi Australia juga tidak dimaklumkan berhubung perkara itu.

Bird juga menghadapi tuduhan kedua kerana mengambil dadah itu di Pejabat Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 12.10 tengah malam, pada hari yang sama mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum tiga tahun penjara.

Pendakwaan dijalankan oleh pegawai pendakwa Cif/Insp Muhammad Sapri Yaakub. - BERNAMA

Artikel Lain