suria

Panel Penasihat Bebas Ingin Cari Kebenaran - Hishammuddin

PUTRAJAYA: Penubuhan Panel Penasihat Bebas bagi mendapatkan butir terperinci mengenai rusuhan berikutan perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April tidak bersandarkan pada pada undang-undang, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Panel ingin mencari kebenaran, membolehkan orang ramai menyampaikan apa yang terjadi ke atas mereka sekiranya mereka merasakan polis adalah prejudis atau Kementerian Dalam Negeri berat sebelah. "Kebenaran adalah lebih penting daripada pendirian undang-undang," katanya selepas menerima kunjungan hormat Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Seberang Laut Bangladesh, Khandker Mosharraf Hossain di sini, Isnin.

Panel itu yang diumumkan Rabu lepas terdiri daripada bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar selaku pengerusi panel, bekas Ketua Hakim Borneo Tan Sri Steve Sim, Pengarah Urusan Kumpulan Akhbar Sinar Harian Datuk Husammuddin Yaacub, Penasihat Undang-undang Kumpulan Akhbar Sin Chiew Liew Peng Chuan, Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat Petronas Datuk Medan Abdullah, dan Pakar Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Ruszmi Ismail.

Hishammuddin berkata meskipun Panel Penasihat Bebas itu tidak mempunyai kuasa undang-undang, mereka akan tetap mendedahkan kebenaran berdasarkan maklumat yang diterima.

Sehubungan itu, katanya mana-mana pihak yang ingin memberi keterangan diminta tampil secara sukarela memberi maklumat kepada panel berkenaan.

Mengulas dakwaan pihak tertentu yang berpendapat Tun Hanif tidak layak mengetuai panel itu, Hishammuddin berkata pihak berkenaan sudah ketandusan idea untuk menyerang panel bebas itu sehingga bertindak menyerang individu tertentu. "Tapi itu satu perkara tidak adil kerana Tun Hanif tidak pernah berkompromi mengenai integriti, kredibiliti dan tidak prejudis kepada sesuatu," katanya sambil memberitahu mereka boleh merujuk kepada panel lain termasuk dua wakil media jika "tidak percaya" dengan Tun Hanif.

Sementara itu, Hishammuddin berkata polis melaksanakan tiga bentuk siasatan untuk Bersih 3.0 iaitu kepada mereka yang menyertai perhimpunan itu sehingga melanggar undang-undang, pemimpin yang menyertainya serta melanggar tujuan sebenar penganjuran demonstrasi serta siasatan polis terhadap anggotanya sendiri atas tuduhan mengasari peserta perhimpunan itu. -BERNAMA

Artikel Lain