suria

Perkhidmatan AirAsia Terima Pujian Dan Sungutan Di Akhbar

MELBOURNE: Perkhidmatan AirAsia mendapat pujian dan sungutan melalui ruangan 'Letters Page' akhbar Sydney Morning Herald, Sabtu.

Seorang pembaca, Ken Miles, menulis:

"Penerbangan kami dengan AirAsia dari Gold Coast ke Kuala Lumpur baru-baru ini terlewat selama 45 minit akibat masalah komputer.

"Kami perlu mengambil penerbangan sambungan AirAsia dari KL ke Kota Kinabalu dan apabila menghampiri KL, kami diminta duduk di kerusi berhampiran pintu kabin. Apabila pintu ini dibuka, kami terus dibawa petugas di lapangan kepada kastam, kemudian ke pintu domestik untuk menaiki pesawat yang dimaksudkan.

"Sekarang, memang jarang dapat menemui sikap dedikasi sedemikian daripada syarikat penerbangan."

Bagaimanapun, John Nicolson pula tidak gembira dengan perkhidmatan syarikat itu.

Pembaca ini menulis:

"Tahun lepas, saya membayar harga penuh bagi empat tiket AirAsia untuk penerbangan dari Gold Coast ke Paris melalui Kuala Lumpur pada September, 2012.

"Pada Januari, AirAsia mengumumkan ia membatalkan perkhidmatan KL-Paris mulai 30 Mac dan akan menghantar makluman kepada penumpang yang membuat tempahan tentang pembatalan itu melalui e-mel dan menjelaskan tentang opsyen yang ada, termasuk bayaran balik sepenuhnya. Tetapi, hingga kini, saya masih menunggunya.

"Pengendali pusat panggilan pula tidak dapat menyambung panggilan saya kepada mana-mana pihak yang sepatutnya dan hingga ini, semua kiriman e-mel saya hanya menerima jawapan berbentuk respons automatik. Saya masih berharap wang saya dikembalikan." - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain