suria

PKR Persoal Durian Runtuh Peneroka Felda

PETALING JAYA: Durian runtuh sebanyak RM15,000 yang diumumkan untuk setiap peneroka Felda pada Selasa mendapat reaksi negatif Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mempersoalkan tentang jumlah yang diagihkan.

Pengerusi Biro Perdagangan dan Industri PKR, Wong Chen berkata, selepas penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) di Bursa Malaysia, setiap keluarga peneroka Felda berhak menerima RM50,000 dan bukan RM15,000.

Ini kerana, katanya, masih terdapat baki yang lebih besar berjumlah RM3.942 bilion selepas jumlah keseluruhan RM1.689 bilion diagihkan kepada peneroka.

"Hanya 30 peratus daripada keseluruhan dana yang dikutip diagihkan kepada setiap keluarga peneroka, iaitu RM15,000.

"Jika diagihkan kesemuanya, setiap keluarga akan mendapat RM50,000, bukan lagi RM15,000 seperti yang diumumkan," katanya dalam satu sidang media, di Ibu Pejabat PKR, dekat sini, Selasa.

Menurut Wong, nilai sebenar ganjaran yang sepatutnya diperolehi peneroka Felda dibuat setelah meneliti prospektus penyenaraian FGVH.

Proses ini turut melibatkan perbincangan dengan penganalisa pasaran bagi menentukan prestasi FGVH dan harga setiap unit saham apabila disenaraikan.

Beliau menjelaskan, keluarga peneroka Felda di seluruh negara berjumlah 112,635 berhak mendapat keuntungan daripada proses penyenaraian ini kerana tanah seluas 840,603 ekar diusahakan oleh Felda Plantations Sdn Bhd adalah milik mereka.

"Tanah yang dipajakkan kepada FGVH memberi nilai besar. Tanpa tanah yang diambil Felda atas nama peneroka, penyenaraian akan gagal," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempertikaikan baki yang lebih besar sebanyak 70 peratus daripada jumlah dana yang dikutip.

"Kenapa tak diagihkan semua...hanya beri RM15,000. Bagaimanakah baki RM3.942 bilion akan dibelanjakan supaya ada ketelusan dan amanah," ujarnya.

Wong berkata, seharusnya kesemua dana yang dikutip diagihkan kepada peneroka, bukan hanya melibatkan 30 peratus daripada dana yang dikutip kerana tanah Felda adalah milik dan masyarakat Felda yang harus digunakan untuk kebaikan mereka.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan durian runtuh bukan sahaja kepada peneroka malah untuk isteri dan anak peneroka serta warga kerja Felda sempena penyenaraian FGvH di Bursa Malaysia.

Beliau mengumumkan berita baik itu di hadapan kira-kira 50,000 warga peneroka Felda di Majlis Peneroka Bersama Perdana Menteri di Felda Jengka 8, Jerantut, Pahang.

Najib berkata, Felda kini telah memasuki satu transformasi baru setelah penyenaraian FGVH.

Artikel Lain