suria

Lelaki Warga Myanmar Dipercayai Edar Dadah Diberkas

KUANTAN: Seorang lelaki warga Myanmar yang dipercayai pengedar dadah diberkas polis di Jalan Tun Ismail, di sini petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang Supt Yap Toon Khuan berkata suspek yang berusia 25 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5.45 petang semalam.

Beliau berkata sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Negeri mengekori suspek setelah mendapat maklumat daripada orang awam.

"Ketika menjalankan pemeriksaan ke atas suspek, satu paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah jenis heroin ditemui.

"Dadah seberat 56.30 gram itu dianggar bernilai RM2,000 dijumpai dalam poket sebelah kanan seluar suspek," katanya di sini, Selasa.

Kata beliau, pihaknya percaya bekalan dadah itu dibawa masuk dari negeri jiran untuk diedar di kawasan jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dekat Padang Lalang, di sini.

"Suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut dan akan disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. BERNAMA

Artikel Lain