suria

Kadar Tol Mungkin Dimansuh Atau Dikurangkan - Shaziman

GEMAS: Kadar tol di beberapa lebuh raya di seluruh negara mungkin akan dikurangkan atau dimansuhkan sepenuhnya sekiranya kabinet membenarkan penyusunan semula seperti yang disyorkan beberapa syarikat konsesi lebuh raya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata, terdapat juga kemungkinan bahawa kadar tol tidak akan dinaikkan untuk satu tempoh yang lebih lama.

"Kita menerima maklum balas positif daripada syarikat-syarikat konsesi lebuh raya menerusi syor penyusunan semula ini.

"Bersama dengan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), kita akan kaji dengan teliti syor-syor ini sebelum satu cadangan akhir dibentangkan kepada kabinet untuk diluluskan," katanya.

Bagaimanapun Shaziman berkata beliau tidak boleh mendedahkan nama syarikat-syarikat yang menghantar syor berkenaan.

Beliau juga enggan mendedahkan pengendali lebuh raya mana yang terlibat dalam penstrukturan semula itu.

"Bersama saya ada beberapa senarai, tetapi memandangkan ada pemegang saham lain dalam syarikat terbabit, ia adalah bertentangan dengan peraturan Bursa Malaysia jika saya mendedahkannnya sekarang," katanya.

Selain itu tambah beliau, ada juga kemungkinan perjanjian antara konsesi terlibat akan dilanjutkan bagi membolehkan pengurangan kadar tol dilaksanakan ataupun untuk mengelakkan kadar sedia ada dinaikkan.

Artikel Lain