suria

Palsu Dokumen Perjalanan & Sijil Nikah: Dua Rakyat Indonesia Ditahan

MELAKA: Dua lelaki rakyat Indonesia ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Tangga Batu di sini, Jumaat kerana disyaki menjalankan aktiviti pemalsuan dokuman perjalanan dan sijil nikah untuk rakyat negara itu. Pengarah Imigresen Melaka Kamalludin Ismail berkata mereka yang ditahandalam serbuan pada pukul 8 pagi itu ialah penduduk tetap (PT), berusia 40 tahun dan pendatang tanpa izin berusia 28 tahun.

"Kedua-dua mereka bukan sahaja menawarkan khidmat pemalsuan pasport untuk permit kerja kepada pendatang tanpa izin rakyat negara itu yang bekerja di negara ini malah turut menjalankan kegiatan memalsukan sijil nikah untuk pasangan Indonesia.

"Siasatan awal mendapati mereka mengenakan caj RM100 bagi setiap cop keluar masuk dan dipercayai mengenakan bayaran antara RM1,000 hingga RM1,500 bagi setiap dokumen perjalanan lengkap," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Ayer Keroh di sini.

Beliau berkata kedua-dua lelaki terbabit dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu secara profesional sejak tahun lepas dengan menghasilkan dokumen yang hampir 70 peratus menyamai dokumen asal. Beliau berkata tangkapan itu dibuat hasil risikan selama lebih sebulan dan siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan penglibatan individu lain dalam kegiatan itu.

Kamalludin berkata pihaknya turut merampas pelbagai peralatan pemalsuan dokumen, antaranya pelbagai jenis cop keluar masuk negara, pasport Indonesia, kad mendarat, sijil nikah palsu, pemacu pena (pendrive) dan 10 perisian komputer. -BERNAMA

Artikel Lain