suria

Dadah Dalam Biji Gajus Tiruan

SEPANG: Taktik seorang warga India untuk menyeludup dadah dengan biji gajus tiruan terbongkar apabila berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Khamis lalu.

Dadah jenis ketamine dengan berat kasar 9.337 kilogram yang bernilai RM373,480 telah dimasukkan secara khusus dalam biji gajus tiruan yang diperbuat daripada plastik sebelum dibungkus bersama biji gajus asli untuk diseludup masuk ke negara ini.

Timbalan Pengarah Kastam KLIA, Siti Baya Berahan berkata taktik 'canggih' penyeludupan dadah ini terbongkar apabila kapas yang menutup lubang pada biji gajus tiruan tertanggal dan serbuk putih tertumpah.

Beliau berkata JKDM telah menahan lelaki warga negara India berumur 23 tahun yang cuba melepasi kawalan kastam setelah tiba dari Chennai pada 8.30 pagi pada hari tersebut apabila beg tariknya menunjukkan imej yang meragukan.

"Apabila beg tariknya diperiksa, kami mendapati enam bungkusan 'makanan' yang mengandungi biji gajus tiruan dan dicampur dengan biji gajus asli.

"Apabila pemeriksaan lanjut dilakukan, kami mendapati gajus tiruan di dalamnya mengandungi serbuk putih dan setelah diuji, ia positif ketamine," katanya pada sidang akhbar di sini, Sabtu.

Selain itu, Siti Baya berkata JKDM turut menemui satu bungkusan biji sagu tiruan seberat 800 gram dan dipercayai dadah jenis Ketamine dalam beg tarik lelaki warga India itu.

Suspek yang kali kedua memasuki negara ini, kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Sementara itu, Siti Baya berkata JKDM turut menahan seorang pelajar Nigeria di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur yang cuba menyeludup dadah jenis methapetamine seberat 0.85 kilogram dan bernilai RM212,500, pada Isnin lalu.

Beliau berkata lelaki berusia 27 tahun yang tiba di sini dengan penerbangan Lagos-Dubai-Kuala Lumpur ditahan JKDM apabila beg laptopnya menunjukkan imej meragukan.

"Apabila pemeriksaan lanjut dilakukan, JKDM menemui satu ruang khusus dalam laptop dan apabila dibuka menemui bungkusan serbuk putih berupa kristal dan apabila diuji ia positif methapetamine (syabu)," katanya.

Sepanjang April, sehingga semalam, Siti Baya berkata JKDM telah menahan enam warga asing dan berjaya menumpaskan lima cubaan penyeludupan dadah sebanyak 31.997 kilogram yang bernilai RM3.68 juta ke negara ini. BERNAMA

Artikel Lain