suria

PDRM Rampas Dadah Bernilai RM243.32 Juta Sepanjang Tahun Lepas

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM243.32 juta sepanjang tahun lepas, persidangan Dewan Rakyat diberitahu Khamis.

Timbalan Menteri Dalam Menteri Datuk Abu Seman Yusop berkata pada tahun lepas juga PDRM telah menangkap 167,001 orang kerana terlibat dengan pelbagai kesalahan jenayah narkotik.

"Hasil dari tangkapan tersebut, sebanyak 138,032 kertas siasatan telah dibuka dan sebanyak 59,673 daripada kertas siasatan tersebut telah dituduh di mahkamah.

"Bagi jumlah yang telah disabitkan kesalahan pula, berdasarkan rekod PDRM, sebanyak 349 kes telah disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman sepanjang tahun 2011," katanya ketika menjawab soalan Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol).

Abu Seman berkata PDRM telah mengambil pelbagai langkah drastik dalam memerangi jenayah narkotik terutamanya yang didalangi sindiket dadah antarabangsa seperti meningkatkan pemeriksaan rapi di pintu-pintu masuk utama negara, sempadan negara dan lapangan terbang.

Beliau berkata PDRM juga meningkatkan jalinan kerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasa asing bagi bertukar maklumat, risikan dan kemahiran untuk menangani masalah itu.

Katanya kerjasama dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Kastam Diraja, Jabatan Imigresen dan Unit Pencegah Penyeludupan turut dipertingkatkan dalam usaha untuk memperketatkan lagi kawalan di pintu-pintu masuk.

"PDRM juga memberi taklimat kesedaran kepada petugas-petugas di pintu masuk sempadan negara serta pengurus lapangan terbang dan syarikat penerbangan di dalam negara ini mengenai modus operandi yang digunakan sindiket pengedaran dadah antarabangsa termasuk keldai dadah.

"Negara kita sering dianggap sebagai negara transit dan juga hub dalam pengedaran dadah justeru langkah-langkah tegas diambil untuk membuktikan bahawa anggapan itu tidak benar," katanya.

Menjawab soalan tambahan, Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) mengenai tindakan undang-undang tindakan terhadap penghidu gam, Abu Seman berkata setakat ini belum ada akta atau undang-undang untuk menyabitkan mereka yang menghidu gam tetapi kerajaan sedar tentang bahaya itu.

Bagaimanapun katanya satu draf berkaitan menghidu gam sedang diteliti kementerian agar masalah itu dapat dijadikan sebagai satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan.

"Seperti mana yang diketahui, gam digunakan oleh industri secara meluas justeru kita perlu membuat kajian dengan terperinci jika mahu mewujudkan akta untuk penghidu gam.

"Jika tiada perincian mendalam dan ketelitian, dikhuatiri ianya boleh memberi kesan kepada ekonomi negara," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain