suria

Polis Berkas Lelaki Masalah Mental Ceroboh Kuil Di Kemaman

KUALA TERENGGANU: Polis menahan seorang lelaki dipercayai mengalami masalah mental ekoran kejadian menceroboh sebuah kuil Hindu di Air Putih, Kemaman, Isnin.

Lelaki berusia 29 tahun itu diberkas pada 6 petang di Kuil Sri Maha Mariamman Sabai selepas hampir 30 minit mengamuk di situ setelah dipercayai "disuruh oleh satu suara ghaib".

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata kejadian yang berlaku pada 5.30 petang itu menyebabkan dua patung di luar kuil dan lapan lagi di dalam rosak.

"Semasa kejadian, terdapat dua orang sami dan seorang penolong pengerusi kuil berkenaan yang berumur antara 40 dan 71 tahun di situ tetapi mereka tidak diapa-apakan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, Selasa.

Jamshah berkata siasatan mendapati lelaki itu menghadapi masalah mental dan telah dihantar ke Hospital Daerah Kemaman.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mempolitikkan kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Lain