suria

Penghantar Surat Rompak Usahawan Diarah Bela Diri

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen pada Jumaat memerintahkan seorang penghantar surat membela diri terhadap pertuduhan merompak seorang usahawan dengan menggunakan sebilah parang, tujuh tahun lepas.

Hakim Balqis Aini Mohd Ali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah, berjaya membuktikan kes prima facie terhadap S.Arokiasamy, 25, di akhir kes pendakwaan.

Arokiasamy didakwa merompak 11 keping kad kredit milik Kong Teck Wei, 49, di stesen minyak Shell Jalan 21/1 Sea Park, Selangor, pada 4.10 pagi, 6 Dis, 2005.

Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda atau sebatan.

Mahkamah menetapkan 19 dan 20 April depan untuk mendengar kes pembelaan. - BERNAMA

Artikel Lain