suria

Laluan Trafik Baru LDP Menghala Ke LDP Dibuka Jumaat Ini

KUALA LUMPUR: Skim laluan trafik baru Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dari KM 4.8 Persiaran Surian menghala ke Kepong akan mula dibuka kepada orang ramai bermula selepas tengah malam Jumaat ini (31 Mac).

Ketua Pegawai Eksekutif Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) Sazally Saidi berkata walaupun hanya 80 peratus daripada keseluruhan menaik taraf lebuh raya itu telah siap, namun ia sudah boleh digunakan oleh orang ramai.

Bagaimanapun, pada masa yang sama, beliau berkata jalan susur sedia ada LDP ke Penchala Link, Mutiara Damansara, Damansara Perdana dan Kg Sg Penchala akan ditutup bagi fasa terakhir untuk kerja-kerja menaik taraf.

"Ianya hanya melibatkan 20 peratus lagi dari keseluruhan penaiktarafan namun tidak akan beri kesan yang ketara kepada trafik," katanya kepada di sini, Selasa.

Sazally berkata usaha menaik taraf lebuh raya itu telah bermula pada Ogos 2010 dan dijangka siap pada Ogos tahun ini membabitkan kos kira-kira RM100 juta.

Beliau berkata penaiktarafan lebuhraya itu dengan pembinaanjalan susur baru lima lorong akan melengkapi lebuh raya tiga lorong sedia ada bagi mengurangkan kesesakan dan masalah trafik bersilang di lebuh raya itu.

"Setiap hala akan mempunyai lorong sendiri yang akan mengawal selia trafik dengan cara teratur. Kita sasar akan kurangkan lebih kurang separuh daripada kepadatan normal trafik di aliran itu di mana jumlah trafik di situ pada setiap hari kita catatkan kira-kira 135,000 pengguna," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengguna lebuh raya berkenaan agar mematuhi arahan-arahan yang telah disediakan agar tidak menghadapi sebarang kesulitan.

Sazally berkata sejajar dengan penguatkuasaan skim laluan trafik baru itu, pengguna dari Bandar Utama, Damansara Utama, Taman Tun Dr Ismail dan Kuala Lumpur menghala ke Kepong atau Sungai Buloh diarahkan untuk mengekalkan pemanduan di laluan tiga lorong utama di sebelah kanan.

Bagi pengguna dari arah yang sama menuju ke Penchala Link, Damansara Perdana, Mutiara Damansara dan Kg Sg Penchala perlu memastikan kenderaan berada di lorong paling kiri selepas persimpangan Persiaran Surian untuk memasuki jalan susur baru LDP dan mengikut papan tanda untuk ke destinasi.

"Pengguna dari Persiaran Surian menghala ke Penchala Link perlu memastikan kenderaan berada di lorong paling kanan sebaik memasuki jalan susur baru LDP.

"Dan pengguna dari arah yang sama menghala ke Kepong atau Sungai Buloh perlu memastikan kenderaan berada di lorong paling kiri sebaik memasuki jalan susur baru LDP dan seterusnya mengikut arahan papan tanda ke destinasi,"katanya. -BERNAMA

Artikel Lain