suria

Hasan Ali Dakwa Kos Ubah Suai Pejabat Dua Exco Lain Lebih Tinggi

KUALA LUMPUR: Bekas exco kerajaan negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali pada Isnin mendakwa kos ubahsuai pejabat bagi dua exco lain adalah lebih tinggi berbanding dengan kos pengubahsuaian pejabat beliau.

"Berdasarkan maklumat yang saya perolehi, kos pengubahsuaian pejabat saya adalah lebih rendah berbanding dengan kos pengubahsuaian pejabat exco lain seperti Dr Xavier (Jeyakumar) dan Dr Halimah (Ali)," katanya kepada pemberita di kediamannya di sini, Isnin.

Dr Hasan berkata, ruang pejabat beliau yang dimaksudkan untuk pengubahsuaian bagi menampung pegawai dan kakitangan beliau sebagai exco, termasuk dari Skim Mikro Kredit Selangor (Skimsel) seramai 19 orang.

"Keseluruhan kerja-kerja pengubahsuaian amat sederhana dari segi kualiti bahan-bahan.

"Pelantikan kontraktor yang diberi kerja dan jumlah kos yang terlibat telah diluluskan oleh Pejabat Perbendaharaan Negeri Selangor dan dipantau oleh Unit Pengurusan Bangunan SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri)," katanya.

Jumaat lalu, ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, mendakwa Dr Hasan membazirkan ratusan ribu ketika memegang jawatan khususnya ketika mengubahsuai pejabatnya.

Semasa perbahasan titah diraja, Azmin berkata, bekas exco yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam, adat Melayu, infrastruktur dan kemudahan awam telah membelanjakan RM300,000 untuk pengubahsuaian pejabat beliau.

Sehubungan itu, Dr Hasan yang juga Presiden Jalur Tiga (Jati) meminta supaya Azmin membuat siasatan dan perbandingan dengan kos pengubahsuaian pejabat beliau dengan mana-mana pejabat di bawah Kerajaan Negeri Selangor.

"Ia termasuk pejabat anak-anak syarikat dan badan berkanun di bawah kerajaan negeri yang membuat kerja-kerja pengubahsuaian," katanya.

Berhubung dakwaan berkenaan, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, perbelanjaan pengubahsuaian pejabat Dr Hasan ketika menjadi exco sebelum ini dibuat mengikut tata cara perbendaharaan.

Justeru, kata Abdul Khalid, tiada tindakan akan diambil terhadap Dr Hasan.

Selain kos pengubahsuaian pejabat, Azmin turut mendakwa Dr Hasan membelanjakan RM550,000 untuk menganjurkan persidangan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) yang menyifatkan wang tersebut lebih baik disalurkan kepada rakyat.

Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga membidas Hasan kerana didakwa membelakangkan dasar tender terbuka negeri ketika menganugerahkan sub-kontrak penyelenggaraan jalan.

Mengenai perbelanjaan tinggi persidangan itu, Dr Hasan berkata, pihak lembaga Padat telah memutuskan untuk menggunakan peruntukan bajet tersebut kepada Muzium Negeri bagi mengadakan program-program yang tertangguh.

"Sebab itu jumlah peruntukan yang dicantumkan kelihatan agak besar. Apapun setiap perbelanjaan mendapat keluluasan pihak exco dan kerajaan negeri," katanya.

Berhubung kerja-kerja penyelenggaraan, katanya, pejabat exco tidak menggunakan kuasa mutlak untuk pemilihan sub-kontraktor, sebaliknya sentiasa berunding dengan kontraktor utama dan senarai itu kemudiannya dihantar ke Pejabat Perbendaharaan Negeri Selangor.

"Hanya pejabat perbendaharaan yang berhak meluluskan senarai tersebut dan kemudian dipanjangkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri untuk memuktamadkan pelantikan," katanya.

Artikel Lain