suria

Ugut Ibu Kandung Minta RM30, Pembantu Kedai Mengaku Bersalah

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu kedai pada Isnin mengaku bersalah atas tuduhan mengugut ibu kandungnya dengan menggunakan sebilah pisau bagi mendapatkan wang sebanyak RM30.

Majistret Zaki Asyraf Zubir memerintahkan Mohd Fadzil Sharif, 31, menjalani pemeriksaan di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan selama sebulan sebelum menjatuhkan hukuman pada 24 April ini.

Mohd Fadzil didakwa cuba menikam Sapiyah Puteh, 65, di Blok A-2-4 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Coachrane Perkasa Jalan Nakhoda, Cheras, pada 5 petang, 18 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh pernah menjalani rawatan mental di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan terlibat dengan pengambilan dadah.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wong Chai Sia manakala Mohd Fadzil tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Artikel Lain