suria

Lelaki Cuba Ceroboh Asrama USM Ditahan

GEORGE TOWN: Seorang lelaki ditahan ketika cuba menceroboh masuk asrama lelaki Kampus Aman Damai, Ahad.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata lelaki berusia 29 tahun itu yang tidak mempunyai pekerjaan ditahan oleh seorang pengawal keselamatan universiti berkenaan kira-kira 6.30 petang.

"Pengawal keselamatan itu yang terserempak dengan lelaki berkenaan mendapati dia berada dalam keadaan mencurigakan dan bertindak mengekorinya.

"Dia yang tidak menyedari diekori cuba menceroboh masuk sebuah bilik di tingkat dua kampus berkenaan sebelum ditahan pengawal keselamatan terbabit," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Beliau berkata lelaki itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sungai Nibong untuk siasatan lanjut.

Gan berkata siasatan awal mendapati lelaki tempatan itu mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui tujuan lelaki itu menceroboh masuk ke dalam asrama lelaki sama ada untuk mencuri atau lain-lain," katanya.

Katanya lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 448 Kanun Keseksaan iaitu menceroboh rumah yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Lain