suria

Wakil Rakyat Sungai Siput Dibenar Rayu Ke Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada Khamis membenarkan Anggota Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonannya mendapatkan semakan kehakiman kesnya mengenai dana khas kawasan pilihan raya.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria memberi kebenaran kepada Dr Jeyakumar, daripada Parti Sosialis Malaysia, merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak menyebelahinya.

Mahkamah Persekutuan akan menetapkan satu tarikh mendengar rayuan itu dan menjawab persoalan mengenai undang-undang berkaitan dasar membuat pertimbangan dan mengenai soal hak pengurusan.

Pada 10 Oktober tahun lepas, panel tiga hakim Mahakmah Rayuan memutuskan bahawa Dr Jeyakumar tidak boleh mencabar keputusan dibuat agensi kerajaan dalam menolak permohonannya mendapatkan dana daripada peruntukan khas kawasan pilihan raya untuk melaksanakan beberapa projek di Sungai Siput.

Panel hakim berkenaan menetapkan bahawa isu yang Dr Jeyakumar bangkitkan dalam permohonannya bagi mendapatkan semakan kehakiman itu, termasuk perkara tidak adanya ketelusan dan pemberian peruntukan yang tidak seimbang, daripada segi undang-undang tidak dapat dipertahankan serta semakan kehakiman juga tidak boleh dibuat.

Panel Mahkamah Rayuan diketuai oleh Hakim Datuk Wira Low Hop Bing berkata, isu yang dibangkitkan itu membabitkan pertimbangan dasar dan hak pengurusan di mana mahkamah tidak berpengetahuan dalam perkara sedemikian.

Ini, kata hakim, terletak di bawah keputusan berasaskan penilaian Ketua Pengarah Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan di Jabatan Perdana Menteri dan/atau Pengarah Pejabat Pembangunan Perak.

Mahkamah Rayuan telah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang sebelumnya membenarkan Anggota Parlimen itu memohon semakan kehakiman yang kemudian ditolak oleh mahkamah rayuan sama.

Dr Jeyakumar mengemukakan permohonan mendapatkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Pejabat Pengarah Pembangunan Perak yang menolak permohonan beliau mendapatkan peruntukan daripada dana khas berkenaan.

Beliau memohon peruntukan khas itu untuk disumbangkan kepada SMJK Shin Chung, SJK Methodist dan Rumah Anak Yatim Nurul Ihsan serta untuk sumbangan projek kecil bagi faedah penduduk kampung Orang Asli.

Beliau menamakan ketua pengarah unit berkenaan dan Pengarah Pembangunan Perak serta kerajaan sebagai responden dalam permohonannya mendapatkan semakan kehakiman yang dikemukakan pada 29 Oktober 2010.

Dr Jeyakumar memohon perisytiharan bahawa peruntukan dalam dana khas kawasan pilihan raya itu mesti disalurkan sama rata kepada semua Anggota Parlimen tanpa mengira kaitan politik mereka mengikut Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Dr Jeyakumar juga memohon perintah mandamus untuk memaksa Ketua Pengarah Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan Jabatan Perdana Menteri, Pengarah Pejabat Pembangunan Perak dan kerajaan memberi penjelasan mengenai bidang kuasa dalam mengagihkan dana daripada Peruntukan Khas Kawasan mengikut budi bicara mereka selain menuntut mengetahui prosedur mengeluarkan peruntukan itu sejak 2008. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain