suria

Dua Nyaris Maut Kren Terlanggar Kabel Elektrik

ALOR SETAR: Dua lelaki nyaris maut akibat terkena renjatan elektrik apabila kren yang dikendalikan salah daripada mereka terlanggar kabel elektrik bervoltan tinggi di Jalan Lencong Barat, Tandop dekat sini 6.30 petang Selasa.

Kren berada di kawasan tapak pembinaan di bawah kabel bervoltan tinggi itu digunakan bagi kerja memunggah batu yang terlanggar kabel berkenaan sehingga terputus menyebabkan berlaku letupan yang kuat.

Saksi kejadian, Chen Soon Lak, 32, berkata ketika itu beliau berada di sebuah kedai berhampiran terdengar bunyi letupan sangat kuat dan terus bekejar bersama beberapa rakan ke lokasi kejadian.

Mereka mendapati dua lelaki seorang terbaring di atas tanah berhampiran pagar dan seorang lagi dipercayai pengendali kren pengsan di dalam alat jentera itu.

"Kami takut mendekati kedua-duanya kerana bimbang terkena renjatan elektrik dan meminta pertolongan orang ramai menghubungi pasukan penyelamat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Chen berkata pemandu kren itu tersedar 15 minit kemudian dan merendahkan galang krennya yang tersangkut sebelum orang ramai memberikan bantuan terhadapnya.

Mangsa dikenali sebagai Thi Kim Teng, 50an, ditemui masih berkeadaan bingung manakala rakannya yang tidak dikenali dilihat menggigil akibat terkena renjatan elektrik.

Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah(HSB) Alor Setar mendapatkan rawatan.

Tinjauan di tempat kejadian kemudian melihat beberapa pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan kerja pembaikan memotong kabel yang terputus bagi mengelakkan litar pintas yang boleh mendatangkan kemalangan dan membahayakan orang ramai. -BERNAMA

Artikel Lain