suria

Kerajaan Negeri Tanggung Separuh Kos Bina Semula Rumah Terbakar Di Bentong

BENTONG: Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata Pejabat Tanah dan Daerah Bentong telah diarahkan untuk mencari segera kawasan dan tapak baru bagi pembinaan semula Kampung Baru Cina Ketari yang musnah terbakar baru-baru ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga bersedia menangung sebahagian daripada kos pembinaan rumah terbabit.

"Contohnya jika harga rumah berharga RM60,000 sebuah, mangsa akan membayar sebahagiannya, manakala sebahagian lagi ditanggung oleh kerajaan," katanya ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran tersebut di sini Jumaat.

Setiap keluarga menerima RM5,000.

Dalam kejadian Rabu lepas, 25 buah rumah kayu musnah menyebabkan 124 penghuninya tinggal sehelai sepinggang.

Adnan berkata, sumbangan tersebut merupakan tanda ingatan dan simpati kerajaan ke atas kemalangan yang menimpa mangsa.

"Ia bukan kerana politik ataupun pilihan raya, tetapi pemberian ikhlas kerajaan bagi mengatasi bebanan yang mereka tanggung.

"Sumbangan sebanyak itu tidak boleh membeli atau membina rumah baru tetapi ia sekadar tanda ingatan kerajaan, malah sebelum ini pun kerajaan turut memberikan sumbangan dan bantuan kepada rakyat," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain