suria

Projek Mega, Berimpak Tinggi NKEA Greater KL/Lembah Klang Giat Dilaksana

PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta agensi-agensi di bawahnya sedang giat melaksanakan projek-projek mega dan berimpak tinggi di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang.

Menteri berkenaan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata ia merupakan antara usaha Kerajaan untuk menjadikan negara ini negara berpendapatan tinggi dan menjadikan Wilayah Persekutuan khususnya Kuala Lumpur sebagai wilayah yang maju dan berdaya saing.

Sehubungan itu, beliau berkata beberapa Projek Permulaan (EPP) sedang melalui fasa-fasa awal pelaksanaan antaranya projek 'River of Life' (Sungai Nadi Kehidupan), pembinaan projek siar kaki, pembangunan mercu tanda ikonik di Kuala Lumpur dan projek Greener KL.

Bagi meningkatkan tahap pengangkutan awam yang berkesan, projek MyRapid Transit laluan Sungai Buloh-Kajang juga sedang dilaksanakan, katanya.

Raja Nong Chik berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Melawati, di sini Rabu.

Pada tahun ini, Raja Nong Chik berkata kementerian akan memberikan tumpuan kepada usaha membangunkan semula Kampung Baru selaras dengan hasrat kerajaan serta para pemilik dan pewaris tanah untuk melihat kawasan penempatan Melayu yang strategik dan bersejarah dibangunkan dengan mengekalkan ciri-ciri sedia ada.

"Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2011 telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku. Melalui akta ini Perbadanan Pembangunan Kampung Baru ditubuhkan bagi memaju menyelaras dan menyelia pembangunan di Kampung Baru," katanya.

Selain itu, beliau berkata kementerian akan terus melaksanakan program menyediakan bantuan secara langsung kepada golongan miskin bandar dengan menyediakan bantuan sewa rumah, membina dan membaiki rumah serta mengadakan program pembangunan modal insan untuk meningkatkan kemahiran mereka supaya dapat menambah pendapatan.

Terdahulu pada istiadat itu, Tuanku Abdul Halim berkenan menyampaikan darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2012 kepada 279 penerima.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Tahun ini merupakan kali kelima darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan dianugerahkan kepada individu-individu yang berjasa membangunkan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain