suria

Kenyataan Anwar Menikam Diri Sendiri - Rais

JELEBU: Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong usaha menjaga keselamatan Israel, menikam dirinya sendiri apabila lebih banyak pihak mula meragui pendirian sebenar ketua pembangkang itu.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kenyataan yang dikeluarkan Anwar ketika ditemubual akhbar Wall Street Journal (WSJ) baru-baru ini juga telah melukai hati seluruh rakyat dan pemimpin dunia Islam.

"Saya fikir, negara dan rakyat dunia Islam tidak sebodoh itu untuk menerima gesaan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim yang semata-mata untuk memberi penghargaan kepada negara Israel dan kenyataan seperti itu telah melukai rakyat dan pemimpin negara-negara Islam," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi Parlimen Jelebu di Kampung Lakai, di sini, Rabu, Rais berkata banyak pihak terutama pemimpin negara Islam kini mula meragui kepimpinan Anwar.

Rais berkata sikap Anwar yang sering berubah pendirian itu tidak harus diterima sebagai kualiti atau sifat-sifat asas seorang pemimpin.

Rakyat dan pemimpin dunia Islam kini akan lebih mengenali siapa sebenarnya Anwar dan ketua pembangkang itu seharusnya perlu berhenti daripada terus mendustai rakyat, katanya.

Mengulas mengenai kaji selidik Edelman Malaysia, Edelman Trust Barometer 2012 semalam, yang menyatakan bahawa tahap kepercayaan rakyat negara ini terhadap kerajaan ialah pada tahap 52 peratus, Rais berkata semua pihak berhak menyatakan pendirian dan pandangan masing-masing.

Bagaimanapun, katanya unjuran kaji selidik yang dibuat oleh firma perhubungan awam terkemuka dunia itu boleh dikatakan meleset berbanding apa yang sebenarnya berlaku di dalam masyarakat.

"Mereka yang membuat kajian seperti ini adalah "armchair evaluators" yang duduk di kerusi empok dan tidak keluar melihat rakyat.

"Tapi kami (pemimpin) keluar hari-hari, pegawai Jabatan Penerangan, pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas, selalu bersama rakyat dan mengetahui kedudukan sebenar mereka, dan saya pegang data itu di mana sokongan kepada kerajaan melonjak," katanya.

Pada majlis penyampaian bantuan BR1M itu, seramai 240 orang dari kawasan Kampung Lakai dan sekitarnya yang majoritinya terdiri daripada masyarakat Orang Asli, menerima bantuan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain