suria

Seorang Nelayan Maut, Dua Lagi Hilang Di Perairan Tioman

KUANTAN: Seorang nelayan rakyat Indonesia ditemui mati lemas, dua lagi masih hilang manakala dua cedera ringan apabila bot pukat tunda mereka karam kira-kira empat batu nautika utara Pulau Tioman pada 11 malam Jumaat lepas.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Kuantan Kapt Maritim Ab Aziz Idrus berkata mayat La Mafi, 62, ditemui oleh pasukan penyelamat setelah pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.45 pagi Sabtu.

"Kejadian itu dipercayai berlaku apabila bot pukat tunda yang keluar sejak Ahad lepas itu rosak dalam perjalanan pulang dan akibat cuaca yang teruk bot berkenaan cuba mencari tempat perlindungan di Pulau Tulai berhampiran Pulau Tioman.

"Ketika dalam perjalanan bot berkenaan mengalami masalah di bahagian enjin menyebabkan bot itu dihanyu tkan ombak kuat dan melanggar batuan di sekitar perairan Pulau Tulai," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Ekoran itu katanya, bot itu pecah dan tenggelam bersama lima nelayan di dalamnya.

Beliau berkata mangsa pertama, Johari Jali, 30, berjaya diselamatkan oleh nelayan tempatan yang menemuinya empat jam selepas kejadian itu dan dia dihantar ke Klinik Desa Kampung Tekek, Pulau Tioman untuk rawatan.

Rakannya, Samsuddin, 31, yang berasal dari Buton, Indonesia ditemui selamat pada pukul 8 pagi dan kini dirawat di Hospital Mersing.

Dua lagi nelayan terbabit, La Lesi, 36, dan Syarifudin, 32, juga dari Buton, belum ditemui dan usaha mencari dan menyelamat diluaskan sehingga 30 batu nautika perairan Pulau Tioman.

Operasi mencari akan diteruskan sehingga 7 petang ini dan akan disambung pukul 7 pagi Isnin jika kedua-dua mangsa belum ditemui, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain