suria

21 Wanita Asing Antara 105 Yang Ditahan Dalam Ops Bersepadu Di P.Pinang

GEORGE TOWN: 21 wanita rakyat asing adalah antara 105 yang ditahan untuk pemeriksaan dalam operasi bersepadu di tiga pusat hiburan di sekitar bandar ini, lewat malam Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Ahmad Bakhtiar Kassim berkata kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut bagi menjalani ujian saringan air kencing.

"Wanita warga asing berumur antara 20 dan 30 tahun itu terdiri dari tiga rakyat Vietnam, empat China dan 14 rakyat Indonesia. Mereka yang lain ialah rakyat tempatan," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Ahmad Bakhtiar yang mengetuai operasi bermula pada pukul 12 tengah malam itu, berkata seramai 50 anggota daripada Balai Polis Sentral di sini menyertai operasi yang berakhir pada pukul 3 pagi itu.

Sementara itu, jurucakap polis berkata hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati dua wanita rakyat asing dan dua lelaki tempatan positif dadah.

Beliau berkata keempat-empat mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala yang lain telah dibebaskan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain