suria

Polis Seberang Perai Serbu 11 Premis Perjudian Internet, 35 Ditahan

NIBONG TEBAL: Polis daerah Seberang Perai Selatan (SPS) menyerbu 11 premis perjudian internet dan menahan 35 lelaki berusia antara 20 dan 40 tahun dalam operasi khas pada Sabtu bagi membanteras aktiviti tidak sihat itu.

Ketua Polis Daerah SPS Supt Shafien Mamat berkata dalam operasi bermula pukul 3 petang hingga 9 malam itu, 12 daripada lelaki yang ditahan merupakan penjaga premis dan lainnya pemain judi.

Polis turut merampas 130 buah komputer bernilai RM260,000 yang digunakan untuk aktiviti perjudian itu, katanya pada sidang akhbar di sini, Ahad.

Shafien berkata polis turut menghadapi kesukaran sepanjang operasi berkenaan kerana setiap premis terbabit dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) manakala sistem komputer dimatikan menggunakan alat kawalan jauh.

"Bagaimanapun usaha mereka itu gagal kerana polis berjaya mengesan taktik itu," katanya.

Beliau berkata hasil ujian air kencing mendapati tiga daripada yang ditahan positif dadah jenis heroin. - BERNAMA

Artikel Lain