suria

Wanita Rugi RM16,332 Selepas Ditipu Jurujual Kereta

GEORGE TOWN: Seorang eksekutif kanan sebuah perbadanan multinasional kerugian RM16,332 dan keretanya pula hilang selepas ditipu seorang jurujual supaya membayar pendahuluan bagi sebuah kereta baharu.

R.Thilagavathi, 42, dari Pekan Teluk Kumbar, berkata insiden itu berlaku pada Disember 2010 apabila beliau tertarik dengan sebuah kereta di sebuah pusat pameran kenderaan di Juru Auto city di Seberang Perai.

Katanya selepas memandu uji kereta itu, beliau membayar wang tunai RM1,000 sebagai cengkeram kepada seorang jurujual berumur 36 tahun, dan memaklumkannya bahawa beliau mahu menukar beli kereta lamanya.

"Daripada memberikan resit bagi wang cengkeram saya, sebaliknya dia memberikan saya salinan tempahan jual beli di mana dia mendakwa ini membuktikan bahawa saya telah bayar," katanya selepas mengadu di Biro Aduan MCA di sini, Khamis.

Selepas jurujual itu bersetuju menjual kereta lamanya dengan harga RM5,000, beliau menyerahkan kenderaan itu kepada seorang peniaga kereta tetapi cek dikeluarkan atas nama jurujual itu kerana dia mendakwa ia akan digunakan bagi kereta baharu yang ditempahnya.

Thilagavathi berkata sejak tarikh beliau menempah kenderaan itu dengan cengkeram RM1,000, jurujual itu memberikan pelbagai alasan atas kelewatan kenderaan itu yang menyebabkan beliau menunggu lebih lapan bulan.

Selepas menyerahkan lebih RM16,000 atas desakan jurujual untuk mempercepatkan pengeluaran kereta itu, akhirnya jurujual itu menyuruh beliau membatalkan tempahan kerana kualiti kereta itu tidak baik dan mendapatkan pembayaran balik.

Bagaimanapun, beliau terpaksa menunggu sebulan dan dalam masa sama, panggilan dan mesej kepada jurujual itu tiba-tiba tidak dijawab dan apabila menelefon pejabatnya di Juru, beliau dimaklumkan jurujual itu telah berhenti kerja Ogos tahun lepas, katanya.

Timbalan Ketua Biro Aduan MCA Lim Thoon Deong berkata pihaknya telah menyiasat selepas menerima aduan itu dan dimaklumkan kes itu kini dalam siasatan polis.

Katanya MCA akan menghantar surat rasmi kepada syarikat kenderaan itu dan berharap pengurusan syarikat akan mempertimbang untuk membayar balik wang pendahuluan kepada Thilagavathi kerana kejadian itu berlaku semasa jurujual itu bekerja dengan syarikat itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain