suria

PKR Buat Laporan Polis Isu Skandal Zakat

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Khamis membuat satu laporan polis berhubung dakwaan skandal penyalahgunaan wang zakat membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, parti itu mahu siasatan berhubung penyalahgunaan wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membabitkan penjawat awam.

"Kami gesa pihak polis siasat perkara ini. Hari ini juga kita kemukakan semua bukti yang kita perolehi iaitu dokumen berupa baucar pembayaran kos guaman dan juga laporan Ketua Audit Negara," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di sini.

Pada Rabu, Nik Nazmi mendedahkan dakwaan penyalahgunaan wang zakat oleh Jamil Khir bagi pembayaran kos guaman beliau dalam kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dakwaan berkenaan turut membabitkan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain.

Antara bukti yang dikemukakan kepada polis berupa baucar bayaran bertarikh 29 April 2010 sebanyak RM32,150 serta dokumen yang merupakan surat daripada Ketua Audit Negara yang mengesahkan bahawa RM63,650 wang zakat digunakan bagi membayar kos guaman MAIWP.

Jumlah itu meliputi bayaran pertama sebanyak RM31,500 pada 9 Februari 2010 dan RM32,150 yang tercatat di dalam baucar tersebut.

Dalam pada itu mengulas mengenai kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh yang mengatakan bahawa penggunaan wang zakat untuk kos guaman adalah mengikut hukum syarak serta dibenarkan mengikut Asnaf Fisabilillah, Nik Nazmi berkata: "Soal hukum saya tak tahu sangat, tapi kalau mufti kata mengikut syarak, kita terima.

"Tapi kalau mufti kata boleh, kenapa awal-awal Menteri kata tak guna langsung wang zakat...kenapa ada penafian apabila kita dedahkan."

Artikel Lain