suria

Dasar Baru Benar Mangsa Eksploitasi Pekerjaan Bekerja Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri pada Khamis mengumumkan satu dasar baru membenarkan migran, yang menjadi mangsa eksploitasi pekerjaan dan ditempatkan di rumah perlindungan, untuk bekerja di Malaysia selepas dibebaskan.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Lee Chee Leong, yang mengumumkan dasar itu bagi pihak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata mangsa mestilah memenuhi empat syarat ditetapkan sebelum mereka dibenarkan bekerja di negara ini.

"Syarat-syarat tertentu akan dikenakan terutamanya sebelum mangsa bersetuju, kebenaran daripada perwakilan diplomatik mereka, pengesahan bahawa keselamatan mereka tidak dapat dijamin jika kembali ke negara asal dan mereka telah memasuki negara ini secara sah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Proses Bali Mengenai Perlindungan Kepada Mangsa Pemerdagangan Orang di sini, Khamis. Menurut prosedur semasa, sebaik mangsa dibebaskan dari rumah perlindungan mereka akan kembali ke negara asal.

Lee berkata dasar baru itu menunjukkan kesungguhan Malaysia dan kemajuan berterusan ke arah penambahbaikkan perlindungan mangsa eksploitasi pekerjaan di negara ini.

Beliau berkata Malaysia juga akan mengkaji kemungkinan bagi mangsa pemerdagangan orang dibenarkan bekerja sementara dalam Perintah Perlindungan Interim (Sementara).

Pada masa ini, mangsa penyeludupan melakukan kerja-kerja sementara di rumah-rumah perlindungan.

Terdahulu semasa berucap, Lee berkata negara anggota Proses Bali perlu melihat kepada pendekatan berpusat mangsa bagi menangani mangsa pemerdagangan orang, di mana identiti dan sokongan termasuk perlindungan bagi penjagaan lebih baik dan pemulihan diberikan pertimbangan penting.

"Mangsa-mangsa pemerdagangan orang sering kali terdedah kepada layanan buruk dan dieksploitasi para pelaku jenayah. Kebanyakan wanita dan kanak-kanak diperdaya dan menjadi mangsa perdagangan seks manakala mangsa lelaki sering menjadi perhambaan dunia moden," katanya dan menambah kata bahawa semua ini secara terang-terangan tidak mempedulikan hak asasi manusia.

Bengkel dua hari itu disertai 200 peserta dari 32 negara anggota Proses Bali yang menumpukan kepada aspek mangsa pemerdagangan orang terutamanya daripada segi elemen perlindungan, penjagaan dan pemulihan.

Proses Bali merupakan perkumpulan yang ditubuhkan pada 2002 untuk menangani isu-isu pergerakan manusia yang di luar peraturan serta hal-hal berkaitan jenayah rentas sempadan termasuk pemerdagangan orang. - BERNAMA

Artikel Lain