suria

Cukai Hiburan Di Kedah Dibayar Enam Bulan Atau Setahun Sekali

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah memutuskan cukai hiburan di negeri itu perlu dibayar setiap enam bulan atau setahun sekali dan tidak lagi bulan ke bulan bagi mengelak penipuan. Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata keputusan itu dicapai pada mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang dipengerusikan beliau di sini, Rabu.

"Keputusan ini bagi memudahkan Pihak Berkuasa Tempatan memantau aktiviti pelbagai jenis pusat hiburan," katanya kepada pemberita apabila diminta mengulas rasa tidak puas hati pengusaha pusat hiburan di Kedah setelah beberapa PBT enggan membenarkan pembayaran cukai dibuat untuk tempoh sebulan baru-baru ini.

Menurut Azizan hanya PBT Kulim yang melaksanakan pungutan cukai bagi tempoh setahun manakala PBT lain masih membenarkan bayaran dibuat bulan ke bulan. Katanya keputusan itu dibuat kerana hasil kutipan cukai hiburan merosot kerana berlaku penipuan oleh pengusaha pusat hiburan.

Azizan juga berkata bantuan persekolahan RM100 akan diberi kepada maksimum dua pelajar dalam satu keluarga yang berdaftar dengan e-Sinar (senarai golongan miskin kerajaan Pas Kedah).

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri pada November tahun lepas, beliau mengumumkan bantuan itu akan diberi kepada hanya seorang pelajar dalam sebuah keluarga.

"Pemberian ini yang akan diberikan pada akhir bulan ini atau Februari melibatkan 10,000 keluarga," kata Azizan.

Beliau juga mengumumkan kenaikan 100 peratus elaun 54 orang pembantu 12 pusat asuhan kanak-kanak yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Kedah menjadi RM820 sebulan mulai bulan ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain