suria

Masjid Wilayah Kini Jadi Tempat Berhimpun Ahli-Ahli Gabungan 15 NGO

KUALA LUMPUR: Masjid Wilayah Persekutuan yang pada awal pagi tadi kelihatan lengang dan tenang kini menjadi tempat berhimpun ahli-ahli daripada 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Gabungan NGO ini hadir sebagai kumpulan pemerhati dan sebagai tanda sokongan terhadap kerajaan.

"Kita bukan nak provok. Kita datang sebagai pemerhati, bukan nak bertelagah atau bergaduh," kata Setiausaha Agung Pertubuhan Majlis Permuafakatan Ayahanda Malaysia (Permas) Zulkifly Sharif.

Zulkifly berkata, pihaknya menghormati apa sahaja keputusan Mahkamah tinggi terhadap kes perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang berlangsung di Kompleks Mahkamah Jalan Duta yang terletak tidak jauh dari masjid ini.

"Kita terima apa sahaja keputusan mahkamah dan menghormatinya. Sebagai rakyat Malaysia kita perlu hormat kepada sistem kehakiman negara," katanya.

Zulkifly menjangkakan kehadiran seramai 3,000 ahli dari gabungan 15 NGO ini.

Kebanyakan mereka memakai kemeja-T berwarna kuning dengan tulisan 'Anti Sex Bebas 901' sambil memegang poster yang bertulis 'Anwar Keldaikan Rakyat'.

Selain Permas, NGO lain yang terlibat sama hadir di pekarangan Masjid Wilayah ialah Perpaduan Umah Teras Negara(Putra), Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida), Pewaris dan banyak lagi.

Artikel Lain