suria

Jawatankuasa Penyelaras Program Cegah Jenayah 'Sekata' Sarawak Ditubuh

KUCHING: Satu jawatankuasa penyelarasan program pencegahan jenayah "Keselamatan Keluarga Tanggungjawab Kita" (Sekata) ditubuhkan bagi memberi khidmat sokongan keluarga dan pembangunan modal insan di kawasan terpilih seluruh Sarawak.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata selain Biro Wanita Sarawak, lapan agensi lain turut menjadi anggota jawatankuasa itu iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pembangunan Sosial negeri, Jabatan Penerangan, Agensi Dadah Kebangsaan, Jabatan Perpaduan, Jabatan Pelajaran dan Majlis Permuafakatan Ibu Bapa.

"Selain agensi kerajaan yang berkaitan, turut membantu menjadi pelaksana program Sekata ialah enam agensi bukan kerajaan yang terpilih dan dilantik," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau yang merupakan pengerusi jawatankuasa itu berkata fokus utama ialah pelaksanaan program latihan membabitkan modul utama iaitu keibubapaan dan pendidikan kesihatan repoduktif sosial selain modul tambahan iaitu pemerkasaan ekonomi keluarga.

Program itu akan berjalan selama enam bulan sehingga Jun tahun ini sebelum satu laporan lengkap diperoleh untuk penilaian dan langkah susulan, katanya.

Fatimah berkata berdasarkan statistik dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan PDRM, beberapa jenayah keluarga mencatat kes yang tinggi di Sarawak, antaranya pembuangan bayi dan keganasan rumah tangga.

Kes pembuangan bayi meningkat daripada sembilan kes pada tahun 2010 kepada 20 kes tahun lepas manakala kes keganasan rumah tangga meningkat dari 28 kes pada tahun 2009 kepada 48 kes pada tahun 2010, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain