suria

Buruh Diberkas Lima Jam Selepas Cubaan Ragut Gagal

KUALA TERENGGANU: Seorang buruh diberkas lima jam selepas cubaan ragut ke atas seorang guru tadika bersama anaknya di Kampung Rajawali, di sini, Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K Manoharan berkata suspek yang berumur 26 tahun ini diberkas kira-kira pukul 6.30 petang semalam semasa bersembunyi di rumah abang iparnya di Kampung Rhu Batil, di sini.

Katanya, polis mengesan suspek berdasarkan motosikal yang didaftarkan atas nama adiknya, ditinggalkannya semasa melarikan diri selepas cubaan meragut mangsa gagal.

Dalam serbuan itu, suspek didapati cedera di bahagian kaki dan tangan serta pakaian yang dipakainya kotor ekoran kejadian itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini, Selasa.

Menurut Manoharan suspek yang berasal dari Kuala Abang, Dungun itu juga mempunyai empat rekod jenayah berkaitan pecah rumah dan menyimpan barang curi.

Katanya hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Suspek kini direman tujuh hari bermula, Selasa.

Semalam, Bernama melaporkan seorang guru Taska, Norita Omar, 37 dan anak lelakinya Mohamad Najmi Almin,5, nyaris maut setelah motosikal yang dinaiki terbabas ketika cuba menyelamatkan diri dalam cubaan ragut.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, Norita dan Mohamad Najmi, 5, mengalami kecederaan di muka, kaki dan tangan setelah kedua-duanya tercampak di permukaan jalan.

Kedua-dua beranak itu kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan dilaporkan dalam keadaan stabil. - BERNAMA

Artikel Lain