suria

Hanya 11 Peratus Kelas Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris

KUALA LUMPUR: Walaupun sekolah dibenarkan memilih sama ada menggunakan bahasa Melayu atau Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI), hanya kira-kira 11 peratus kelas Tingkatan 1 di seluruh negara akan mempelajari subjek tersebut dalam bahasa Inggeris pada tahun hadapan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, statistik itu diperoleh dari pasukan petugas khas pelaksanaan dasar Memartabat Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

"Pasukan itu bertanggungjawab melaksanakan polisi tersebut dan memantau peralihan pelajar tahun Enam memasuki Tingkatan Satu tahun depan.

"Hanya 11.18 peratus kelas Sains dan 11.22 peratus bagi Matematik di sekolah memilih untuk mengajar kedua-duanya dalam bahasa Inggeris.

"Manakala, kelas yang memilih untuk mengajar kedua-dua subjek dalam bahasa Melayu dan Inggeris adalah sebanyak 55.55 peratus bagi Sains dan 56.20 peratus, Matematik.

"Jumlah itu menunjukkan keperluan untuk mengubah dasar PPSMI," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke SMK Taman Tun Dr Ismail di sini, Jumaat.

Pada 4 November lalu, Muhyiddin mengumumkan pelajar yang mempelajari kedua-dua subjek itu dalam bahasa Inggeris boleh meneruskannya sehingga tamat Tingkatan Lima.

Menurutnya, sekolah akan diberi pilihan untuk mengajar Sains dan Matematik sama ada dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu atau kedua-duanya.

PPSMI yang diperkenalkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan pelajar Tahun Satu, Tingkatan Satu dan Tingkatan Enam Rendah pada 2003.

Pada 2009, kerajaan mengumumkan akan mengubah polisi dan mengembalikan pengajaran kedua-dua subjek itu dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan.

Pada waktu itu, pelajar Tingkatan Enam tidak akan terjejas dengan perubahan tersebut bagi membantu mereka dalam peralihan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Tambahnya, kementerian turut mengkaji penubuhan Majlis Bahasa Inggeris untuk memberi penekanan kepada bahasa tersebut.

"Majlis ini akan digunakan untuk menentukan penanda aras selain memantau standard dan kualiti penggunaan bahasa Inggeris di sini.

"Ia akan dianggotai oleh pakar bahasa Inggeris dari dalam dan luar negara. Ia boleh menjadi badan bebas.

"Kami sedang berbincang dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan badan berkaitan untuk melaksanakan perkara ini. Misi kami adalah untuk menubuhkannya tahun depan," katanya.

Artikel Berikut

Abdul Aziz Dipelawa Sertai PAS

Artikel Lain