suria

KDN Panggil Ketua Pengarang Nanyang Siangpau Berhubung Penggunaan Kalimah Allah

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Rabu memanggil Ketua Pengarang Nanyang Siangpau berhubung penggunaan kalimah Allah dalam artikel terbitan akhbar harian itu.

Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi berkata artikel itu memuatkan kalimah Allah dalam bentuk logo dalam penyiaran artikel bertajuk "Hukum Hudud Jadi Isu Kontroversi" di muka surat A8 pada 27 Dis 2011 dan artikel "Hukum Hudud Membimbangkan Kaum Bukan Islam" di muka A8 pada 28 Dis 2011.

"Pemaparan kalimah tersebut jelas bertentangan dengan Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang boleh menggemparkan fikiran orang ramai dan memudaratkan ketenteraman awam," katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Beliau berkata KDN turut memberi surat tunjuk sebab kepada Nanyang Siangpau berikutan tindakannya itu yang menyentuh sensitiviti umat Islam dan boleh mengakibatkan ketegangan serta kekeliruan masyarakat umum negara ini.

"KDN akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana akhbar yang melakukan kesalahan ini pada masa hadapan berdasarkan peruntukan dalam akta tersebut," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain