suria

Denggi: Dua Kematian Dilaporkan Bagi Tempoh 11 - 17 Disember

PUTRAJAYA: Sejumlah 522 kes demam denggi dilaporkan bagi tempoh 11 hingga 17 Disember dengan dua kematian, satu di Selangor membabitkan kelindan lori berusia 31 tahun dan di Johor mangsa seorang tukang cuci berusia 44 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata hasil pemeriksaan di sekitar kediaman mangsa, menjumpai bekas pembiakan aedes seperti bekas plastik, kasut buruk, bekas air sembahyang Cina, tong cat serta tempayan yang tidak digunakan.

"Tindakan penguatkuasaan telah dikenakan terhadap pemilik kedua-dua premis dengan dua kompaun bernilai RM500 setiap satu telah dikeluarkan," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Beliau berkata peningkatan kes yang dikesan sejak awal Oktober lepas itu juga dipengaruhi musim hujan yang memudahkan lagi pembiakan nyamuk Aedes.

Selain itu, katanya tujuh buah negeri iaitu Selangor 33 kes, Perak (18 kes), Sarawak (lapan kes), Terengganu (empat kes), Kedah (dua kes), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (dua kes), Putrajaya (dua kes) dan Johor (satu kes), menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya.

Dr Hasan berkata untuk tempoh sama kementerian juga menjalankan pemantauan terhadap 97 lokaliti wabak denggi di 21 buah daerah di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, katanya tiga lokaliti hot spot iaitu Flat Taman Gembira dan Vista Angkasa di Zon Klang Lama dan Apartment Taman Bukit Kenangan di daerah Hulu Langat Selangor, dikenal pasti menyumbang kepada 48 kes demam denggi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain