suria

Ahli MPPP Lim Boo Chang Keluar PKR

Oleh ZALINAH NOORDIN

GEORGETOWN: Anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lim Boo Chang pada Rabu, memaklumkan bahawa beliau telah keluar parti dan meletakkan jawatan yang disandangnya dalam Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Menurut beliau, surat peletakan jawatan telah diserahkan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan juga kepada majlis perbandaran tersebut.

Lim turut menyatakan hasrat untuk kembali semula menyertai parti Gerakan.

Lim yang merupakan Pengerusi PKR Bukit Gelugor telah lama bergiat dalam arena politik di Pulau Pinang, iaitu sejak 25 tahun dahulu.

Beliau menyertai PKR pada Jun 2008 dan sebelum itu pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Pemuda Gerakan selain pernah menjadi Naib Presiden parti berkenaan pada sekitar tahun 1990.

Tidak lama selepas Pilihan Raya tahun 1999, Lim mengumumkan keluar daripada Gerakan, iaitu selepas beliau berjaya mempertahankan kerusi Datuk Keramat di Pulau Pinang.

Tiga minggu selepas itu, Lim yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk tempoh dua penggal menyertai MCA dan kekal bersama parti tersebut untuk tempoh selama lapan tahun.

Bagaimanapun, beliau dan ADUN Jawi, Tan Cheng Liang digantung keahlian oleh MCA selepas kedua-dua mereka membuat pendirian berkecuali dalam satu usul terhadap DAP pada sidang DUN.

Beliau meninggalkan MCA pada awal Jun 2008 untuk menyertai PKR.

Artikel Berikut

Artikel Lain