suria

Mengimbangi Pertumbuhan Ekonomi, Ekuiti Cabaran Utama Malaysia:Muhyiddin

CANBERRA: Mengimbangi antara pertumbuhan ekonomi dan ekuiti menjadi cabaran utama Malaysia dalam menguruskan transformasi ekonomi dan politik, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu.

Cabaran itu berikutan status dan keperluan pelbagai kumpulan etnik serta wilayah, kata beliau dalam ceramah umum bertajuk 'Menguruskan Transformasi Ekonomi dan Politik - Formula Malaysia' di Australian National University di sini Rabu.

Muhyiddin berkata sejak awal kemerdekaan, kerajaan terpaksa berusaha untuk membasmi jurang pendapatan dan tahap kehidupan masyarakat majmuk di negara ini disebabkan pengenalan kaum dengan fungsi ekonomi.

"Pada 1957, sebahagian besar masyarakat Melayu tinggal di kawasan luar bandar yang amat miskin dengan kemudahan asas yang daif atau tidak ada sama sekali. Pada masa sama, kalangan profesional dan perniagaan daripada kaum Cina serta India menguasai kawasan bandar yang mewah, dengan orang Melayu sebahagian besarnya berkhidmat dalam kerajaan dan tentera.

"Ini adalah perkara yang ditangani ketika kemerdekaan. Kami boleh membiarkan peristiwa dan keputusan yang menyusulinya diarahkan kepada kami atau kami boleh berusaha untuk menjayakan bentuk peristiwa dan hasilnya itu. Kami telah memilih bentuk tindakan yang kedua," katanya.

Justeru, pembangunan menjadi strategi yang sangat penting untuk memastikan kestabilan dan perpaduan, kata Timbalan Perdana Menteri, yang sedang melakukan lawatan kerja tiga hari ke Australia.

Beliau tiba di sini pagi ini untuk menyampaikan syarahan itu sebelum berlepas ke Perth kemudian.

Muhyiddin berkata kesahan politik di Malaysia tidak pernah didasarkan semata-mata kepada siapa yang meraih lebih banyak undi pada pilihan raya, sebaliknya siapa yang boleh menunaikan janji dalam cara yang memuaskan hati pelbagai kaum itu.

Bagaimanapun, beliau berkata tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei, 1969 telah menarik perhatian kerajaan bahawa di sebalik segala langkah yang diambil, masyarakat Melayu dan kaum pribumi di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak masih jauh ketinggalan dalam aspek ekonomi.

"Namun jika ada pun perkara positif mengenainya, peristiwa ini membawa kepada tumpuan dan pertimbangan negara tentang bagaimana untuk melangkah seterusnya," katanya, sambil menambah tragedi itu membawa kepada pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Muhyiddin berkata tumpuan ke arah meningkatkan pendapatan 40 peratus golongan bawahan tanpa mengira kaum merupakan kesinambungan kepada pendekatan terdahulu yang diguna pakai dalam DEB.

DEB, yang dianggap sebagai percubaan berani untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat untuk menghapuskan pengenalan kaum dengan fungsi ekonomi, adalah transformasi ekonomi pertama Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri berkata satu lagi cabaran yang mendepani Malaysia dalam menguruskan transformasi ekonomi dan politik ialah peningkatan saingan daripada negara lain.

"Ini adalah cabaran yang dihadapi oleh semua negara dalam sistem ekonomi antarabangsa. Malaysia perlu memperkukuhkan kelebihan berbanding dan daya saing serta mendapatkan tempat dalam sistem ini," katanya.

Muhyiddin berkata dalam era globalisasi ini, adalah tidak bijak bagi mana-mana negara bersaing secara tidak perlu, sebaliknya, mereka seharusnya mencari jalan untuk saling menjalin kerjasama.

"Kita juga harus berpandangan positif dan menganggapkan cabaran ini sebagai isyarat untuk melakukan perubahan segera dalam ekonomi domestik supaya kita terus berdaya saing," katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Maut Jatuh Pokok Petai

Artikel Lain