suria

Kumpulan Pertama 442 Jemaah Haji Selamat Pulang

SEPANG: Kumpulan pertama 442 jemaah haji selamat tiba ke tanah air dengan pesawat Saudi Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.30 Sabtu malam.

Ketua Pegawai Operasi Tabung Haji Datuk Kamarudin Mat Ali berkata segala urusan Tabung Haji yang melibatkan rakyat Malaysia serta jadual penerbangan pergi dan balik tahun ini berjalan lancar.

"Alhamdulillah, tahun ini segala urusan yang melibatkan urusan Lembaga Tabung Haji berjalan dengan lancar, kita tengok penerbangan pulang pertama jemaah haji juga telah menepati jadual.

"Dan apa-apa masalah yang dialami oleh jemaah haji ketika berada di sana juga kita dapat menyelesaikannya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Beliau berkata Lembaga Tabung Haji turut menguruskan jenazah 32 jemaah haji yang meninggal dunia ketika menunaikan rukun kelima itu di tanah suci.

Sementara itu, rata-rata jemaah haji yang ditemui berkata mereka berpuas hati dengan pengurusan Tabung Haji ketika di tanah suci.

Pakar motivasi Hushim Salleh, 56, yang bersama isterinya, Fauziah Mahmood, 55, berkata Tabung Haji menguruskan jemaah dengan begitu baik.

"Saya berpendapat Tabung Haji mempunyai perancangan yang teratur dan tersusun walaupun kita kata ada cabaran dan ujian, itu merupakan perkara biasa," katanya.

Sementara itu, chef terkemuka Datuk Ismail Ahmad, 51, berkata Tabung Haji memberikan layanan yang cukup memuaskan kepada jemaah haji.

Seramai 28,000 jemaah Malaysia menunaikan haji tahun ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain