suria

Seksualiti Merdeka: Polis Ambil Keterangan Presiden Majlis Peguam

KUALA LUMPUR: Polis telah merekodkan kenyataan daripada Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee berhubung isu Program Seksualiti Merdeka yang diharamkan.

“Sebagaimana yang saudara semua ketahui, Majlis Peguam telah disenaraikan sebagai salah satu pihak penganjur program tersebut.

“Oleh yang demikian, saya telah dipanggil oleh pihak polis atas kapasiti saya sebagai presiden Majlis Peguam untuk menjawab beberapa soalan mengenai penglibatan kami dalam program berkenaan,” ujarnya kepada para wartawan pada Jumaat.

Menurut Lim, pada pengetahuannya, tidak ada sebarang perbuatan haram menganjurkan program tersebut.

“Sesiapa sahaja boleh membuat seberapa banyak laporan polis mengenai sesuatu insiden tetapi pada akhirnya, mahkamah yang perlu menentukan sama ada terdapatnya sebarang undang-undang yang telah dilanggar,” ujarnya lagi.

Beliau juga berjanji bahawa Majlis Peguam akan memberikan kerjasama sepenuhnya jika isu tersebut dibawa ke mahkamah oleh pihak berkuasa.

Polis baru-baru ini telah mengharamkan program tersebut setelah ia mendapat bantahan ramai khususnya umat Islam kerana didakwa mempromosikan seks bebas.

Bagaimanapun pihak penganjur menafikannya dan menyatakan bahawa program itu hanyalah untuk membela nasib golongan berkenaan yang dipinggirkan masyarakat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain