suria

Tiada Kuota Kaum Dalam Pelantikan Jawatan Di Petronas

KUALA LUMPUR: Petronas tidak menetapkan sebarang kuota ke atas mana-mana kaum bagi pelantikan sesuatu jawatan dan pengambilan tenaga kerja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcob berkata komposisi tenaga kerja Bumiputera dan bukan Bumiputera di syarikat minyak negara itu pada masa kini adalah dalam lingkungan 80 peratus dan 20 peratus.

"Pecahan peratusan ini adalah konsisten pada tahun lepas dan juga tahun ini," katanya menjawab soalan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) di persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Ibrahim ingin tahu jumlah kakitangan bukan Melayu yang memegang jawatan penting dalam Petronas yang dilantik dalam masa beberapa bulan yang lalu hingga sekarang.

Nor Mohamed berkata bahawa terdapat sedikit peningkatan bagi kaum Bumiputera untuk jawatan pegawai kanan di dalam syarikat iaitu dari 83 peratus pada tahun 2010 kepada 86 peratus pada tahun ini.

"Petronas mengamalkan dasar meritokrasi dalam pelantikan pekerjanya di semua peringkat di mana sebarang pengambilan tenaga kerja dari luar dan dalaman untuk jawatan penting adalah berdasarkan kepada merit individu tersebut," katanya.

Beliau berkata Petronas akan terus mengamalkan dasar meritokrasi dalam pemilihan tenaga kerjanya bagi memastikan ia mampu bersaing dengan syarikat gergasi minyak dan gas di arena antarabangsa. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain