suria

Selesaikan Konflik Secara Aman - Tun Mahathir

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa agar konflik antara negara diselesaikan menerusi arbitrasi perundingan dan proses perundangan dan bukannya dengan berperang.

Beliau berkata setiap negara akan mempunyai konflik mereka sendiri dengan negara-negara lain tetapi beliau tidak melihat peperangan sebagai penyelesaian kerana ia tidak akan memberikan sebarang kebaikan kepada pertumbuhan ekonomi.

"Tidak seperti perkara lain yang boleh menyumbang kepada negara, bila anda beli senjata, jika perlu menggunakannya, maka, ia memang teruk untuk kita tetapi jika kita tidak menggunakannya, itu satu pembaziran," kata Dr Mahathir dalam ucap tama khasnya di majlis penutupan Forum Ekonomi China Dunia Ketiga di Seri Kembangan, di sini.

“Bagaimanapun, berkaitan antara negara, tidak perlu memikirkan mengenai konfrontasi, perang atau menambah kekuatan sendiri untuk melihat siapa boleh membunuh bilangan orang yang paling ramai," tambah beliau.

Dr Mahathir memberi contoh perbalahan Malaysia yang ada dengan jiran-jiran tetangganya seperti Indonesia, Thailand dan Singapura yang mana semuanya diselesaikan di Mahkamah Dunia, dan tiada peperangan telah berlaku.

Sementara itu, melihat kebangkitan China untuk menjadi kuasa ekonomi terbesar dunia, Dr Mahathir berkata republik itu bukannya berpotensi untuk menjadi musuh.

Beliau berkata sudah menjadi kebiasaan untuk negara kaya mengukuh kuasa militarinya tetapi negara-negara lain tidak seharus memandangnya sebagai satu ancaman.

"Saya tidak takut China menjadi kuasa militari terhebat tetapi saya lihat China sebagai kuasa ekonomi besar. Jika negara kaya, sudah pasti ia perlu melindungi diri mereka sendiri," tambah beliau.

“Jika mereka kaya, kita akan lihat ramai warga China datang ke sini sebagai pelancong dan membelanjakan banyak wang di sini, dan itu amat baik. Jika kita lihat sesebuah negara itu berpotensi menjadi musuh, maka mereka telahpun menjadi musuh pada masa ini," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain