suria

Kumpulan Demonstrasi Bermotosikal Bukan Daripada Umno

GEORGE TOWN: Anggota-anggota kumpulan yang menyertai perarakan bermotosikal di sekitar bandar ini Isnin lepas hari ini menafikan mereka berbuat demikian atas anjuran Umno.

Wakil kumpulan itu, Razali Ismail, 53, berkata mereka daripada Pertubuhan Islam Gabungan Amal (Pertiga) dan penglibatan mereka tidak mewakili mana-mana parti politik.

Beliau memberikan contoh beliau sendiri adalah anggota Pas Teluk Kumbar dan ramai antara peserta perarakan adalah juga anggota parti pakatan pembangkang walaupun terdapat mereka daripada Umno.

Razali berkata perarakan itu bertujuan menzahirkan bantahan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng dan tidak berniat untuk menimbulkan sebarang kekecohan.

"Kami datang bukan untuk buat kecoh sebaliknya ingin menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri dengan cara baik. Bagaimanapun Lim enggan menerima memorandum yang meminta kerajaan membina litar motosikal di negeri ini," katanya kepada pemberita di perkarangan Dewan Undangan Negeri di sini.

Seorang yang mendakwa anggota parti DAP, Lee Boon Hin, 36, berkata dia menyertai perarakan itu dengan tujuan mendesak kerajaan negeri mengatasi masalah "mat rempit" di Pulau pinang.

"Kami hanya mahu litar motosikal dan percaya ia boleh mengurangkan masalah mat rempit dan gejala sosial," katanya.

Lim ketika mencelah dalam perbahasan Rang Undang-undang Enekmen Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2012 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selasa lepas mendakwa Umno terlibat dalam perarakan itu.

Bagaimanapun ia dinafikan Anggota Dewan Undangan Negeri Teluk Bahang Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Peserta perarakan memakai kemeja T kuning dan baju yang tertera perkataan "Selamatkan Pulau Pinang, LGE Rasis".

Lima individu telah ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut dan mereka dibebaskan kemudian dengan jaminan polis. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain