suria

Bicara Kes Khir Toyo: RM6.5 Juta Terlalu Tinggi

SHAH ALAM: Harga RM6.5 juta yang dibayar oleh Syarikat Ditamas Sdn Bhd bagi pembelian dua bidang tanah dan sebuah banglo yang terletak di Seksyen 7, di sini, tujuh tahun lalu didakwa terlalu tinggi berbanding dengan harga pasaran sebenar.

Syarikat Ditamas yang diterajui oleh ahli perniagaan, Datuk Shamsuddin Hayroni membeli hartanah itu daripada Ketua Pegawai Eksekutif, Syarikat Permodalan Kebangsaan Berhad, Saiful Aznir Shahabudin sebelum hartanah terbabit dijual kepada bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo.

Jurunilai hartanah profesional, Iramy Ahmad, 48, berkata berdasarkan penilaian yang dilakukan pada 10 Mei 2005, beliau mendapati jumlah keseluruhan harga semasa pasaran hartanah tersebut hanyalah RM4.3 juta.

"Pada pendapat saya, jika hartanah itu dijual pada harga RM6.5 juta, ia bukanlah satu harga yang berpatutan," katanya semasa menjawab soalan peguam Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.

Ketika disoal bagaimana beliau boleh menentukan harga pasaran semasa itu, Iramy yang merupakan saksi pembelaan keempat berkata, beliau menggunakan kaedah perbandingan, iaitu dengan mengambil kira harga pasaran hartanah-hartanah di kawasan berhampiran.

Jurunilai yang mempunyai pengalaman selama 23 tahun itu seterusnya memberitahu, arahan untuk membuat penilaian terhadap hartanah itu diterima daripada Syarikat Maju Ria (juga milik Shamsuddin).

Selepas menerima arahan, beliau telah meminta pembantunya untuk melawat hartanah tersebut pada 10 Mei 2005 bagi tujuan pemeriksaan dan melihat bangunan yang dinyatakan secara terperinci.

"Dua hari selepas itu, saya sendiri pergi ke tapak hartanah berkenaan untuk membuat penilaian akhir," katanya dan menambah, laporan penilaian dikeluarkan pada 19 Mei 2005.

Beliau juga mengakui bahawa beliau mengetahui bahawa terdapat perjanjian sewa beli hartanah terbabit antara Shamsuddin dengan Saiful Aznir pada harga RM6.5 juta sebelum proses penilaian dibuat, tetapi perkara itu tidak mempengaruhi penilaian yang dilakukannya.

Sementara itu, menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, Iramy mengakui bahawa beliau menggunakan tiga harga pasaran berbeza, iaitu Julai 2004, Jun 2006 dan November 2001 dalam membuat perbandingan tersebut.

Mohd Dusuki: Penilaian dibuat pada tahun 2005. Saya katakan adalah lebih baik jika perbandingan dibuat dengan mengguna pakai harga tahun 2005 kerana harga hartanah sudah semestinya meningkat dari tahun ke tahun?

Iramy: Tidak semestinya.

Mohd Dusuki: Setuju jika saya katakan tiga perbandingan yang kamu gunakan tidak menghampiri tahun perbandingan dibuat?

Iramy: Saya mengambil tiga data itu kerana ia hampir serupa dengan hartanah yang dinilai dari segi saiz. Saiz juga penting dalam membuat penilaian.

Saksi seterusnya menjelaskan penggunaan harga pasaran yang agak terbelakang itu juga disebabkan kesukaran untuk mendapatkan data terkini daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah (JPPH) kerana data hanya akan diperoleh lima bulan selepas permohonan dibuat.

Perbicaraan pada Isnin turut menyaksikan kehadiran seorang lagi jurunilai profesional, Choy Kue Kwong, 61, yang juga merupakan Pengarah Urusan Syarikat Rahim & Co berkata, penilaian beliau pada 14 Mei 2007 mendapati hartanah tersebut hanya bernilai RM3.5 juta.

Syarikat Rahim & Co membuat penilaian atas permohonan oleh Bank HSBC Sdn Bhd bagi tujuan pinjaman yang dikemukakan oleh Mohamad Khir, yang merupakan seorang pelanggan premium bank terbabit.

Choy berkata, penilaian beliau menggunakan data daripada JPPH bagi harga pasaran rumah banglo kosong memandangkan keadaan rumah di hartanah tersebut yang sedang diubah suai semasa proses penilaian dilakukan. Beliau juga bersetuju dengan cadangan Jahaberdeen bahawa 'seseorang akan membayar harga yang keterlaluan' jika harga jualan tanah ditetapkan pada harga antara RM5 juta dan RM5.5 juta.

Berdasarkan keterangan Shamsuddin sebelum ini, beliau mengakui menawarkan harga tersebut kepada Mohamad Khir, walaupun hartanah tersebut dibeli pada harga RM6.5 juta atas alasan mahu memberikan diskaun kepada ahli politik terbabit.

Mohamad Khir, 45, sedang membela diri atas pertuduhan mendapatkan bagi dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 45, hartanah terbabit daripada Syarikat Ditamas menerusi Shamsuddin pada harga yang murah iaitu RM3.5 juta sedangkan Ditamas membayar RM6.5 juta semasa membeli hartanah itu pada 23 Disember 2004.

Ahli politik itu didakwa melakukan kesalahan itu dalam keadaan beliau mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai seorang Menteri Besar (MB) pada waktu itu. Kesalahan itu didakwa dilakukan di pada 29 Mei 2007 di kediaman rasmi Menteri Besar di Jalan Permata, Seksyen 7, di sini dan pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan, Mohamad Khir boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki bersambung Selasa.

Artikel Lain