suria

Kadar Baru Caj Perkhidmatan Penumpang Antarabangsa, Pendaratan dan Parkir Pesawat 15 November

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) pada Khamis mengumumkan ia akan melaksanakan kadar baharu bagi caj perkhidmatan penumpang (PSC) antarabangsa, caj pendaratan dan parkir pesawat bermula 15 November ini.

Pengendali lapangan terbang itu berkata ia telah dimaklumkan oleh Kementerian Pengangkutan bahawa susulan semakan semula selanjutnya, kelulusan telah diberikan bagi menguatkuasakan kadar baharu itu.

MAHB berkata kadar PSC baharu itu akan terpakai bagi tiket yang dibeli daripada 15 Nov dan seterusnya manakala caj pendaratan dan parkir pesawat akan dinaikkan dalam tiga peringkat dari Januari 2012, Januari 2013 dan Januari 2014.

Bagi PSC antarabangsa, ia akan menyaksikan peningkatan kepada RM65 daripada RM51 bagi penumpang antarabangsa yang berlepas di lapangan terbang relevan dan peningkatan kepada RM32 daripada RM25 bagi penumpang antarabangsa yang berlepas di LCCT, KLIA dan di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

"Semua caj PSC lain kekal sama," kata MAHB dalam satu kenyataan pada Khamis.

Bagi caj pendaratan dan parkir pesawat, MAHB berkata kenaikan yang diwartakan itu ialah pada 30 peratus bagi pendaratan dan 64 peratus bagi parkir.

"Kenaikan ini akan dilaksanakan secara beransur-ansur, caj pendaratan pesawat akan dinaikkan dalam tiga peringkat sebanyak sembilan peratus setahun pada Januari 2012, Januari 2013 dan Januari 2014," kata pengendali lapangan terbang itu.

Bagi caj parkir pesawat, MAHB berkata kadar akan dinaikkan dalam tiga peringkat sebanyak 18 peratus setahun pada Januari 2012, Januari 2013 dan Januari 2014.

MAHB mengurus dan mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia: lima antarabangsa, 16 domestik dan 18 landasan pendek dan pengkalan pendaratan. Ia juga mempunyai operasi di India, Turki dan Maldives. - BERNAMA

Artikel Lain