suria

Wujud Budaya Antijenayah - MCPF

KUALA LUMPUR: Malaysia harus mewujudkan budaya antijenayah dan menjadikan pencegahan jenayah sebagai satu cara hidup, kata Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata, kecuali seseorang itu bersedia untuk mengamalkan budaya antijenayah dan menerapkan aspek keselamatan sebagai cara hidup, memerangi jenayah dan penjenayah tidak akan berkesan dan bertahan lama.

"Ini adalah isu yang harus kita fikirkan ketika berhadapan dengan beberapa jenayah kejam baru-baru ini dan menangani gejala sosial dalam masyarakat kita," kata Lee dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kadar jenayah yang berlaku adalah satu peringatan bahawa rakyat tidak harus memandang remeh terhadap aspek keselamatan.

"Rakyat Malaysia dan pihak-pihak lain harus sentiasa sedar dan perlu sentiasa berwaspada dan membantu dengan mengambil bahagian dalam usaha mencegah jenayah," katanya.

Lee berkata, memerangi jenayah adalah penting, dan mencari puncanya adalah perlu dan mengamalkan langkah-langkah untuk mencegah jenayah adalah lebih penting.

Beliau berkata, MCPF berpendapat penagih dadah adalah salah satu faktor yang menyebabkan banyak berlaku kejadian jenayah, seperti kes ragut dan pecah rumah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain