suria

Sarjan Tidak Mengaku Terima Rasuah

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,000, tahun lalu.

Pengakuan Ahmad Sazali Md Desa, 58, direkodkan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Dia yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini didakwa menerima suapan itu daripada pemilik kilang pisau, Lian Huat @ Liow Kim Huat.

Bapa kepada lima orang anak itu didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 12 tengah hari, 30 November 2010 di Pejabat Siasatan Jenayah, tingkat 3, Balai Polis Pudu, Cheras.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk tertuduh tidak mengambil sebarang tindakan dan melepaskan dua pekerja Liau Huat warga Bangladesh yang ditahan mengikut Akta Imigresen.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Sophian Zakaria mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 seksyen yang sama.

Seksyen tersebut membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Peguam Mohd Razif Mansor yang mewakili tertuduh merayu agar mahkamah mengurangkan jaminan RM5,000 yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan atas alasan tiga anak tertuduh masih bersekolah.

Bagaimanapun, Rozilah mengekalkan jumlah tersebut dan menetapkan sebutan semula kes pada 10 November ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain