suria

Tintin Kembali...

PENULIS ingin terlebih dahulu memohon maaf kepada sesiapa yang tidak mengenali Tintin.

Dia adalah hero kegemaran ramai kanak-kanak dan remaja sejak zaman berzaman - dari sebelum Perang Dunia Kedua sehinggalah kini, Tintin tetap dan masih menjadi legenda sama seperti mana Ultraman.

Sama ada secara langsung atau tidak, Tintin bertanggungjawab mencetuskan minat kanak-kanak terhadap dunia kewartawanan dan juga pengembaraan. Ini kerana di dalam siri komik Tintin, dia diperkenalkan sebagai seorang pemberita dan kemudiannya sebagai seorang pengembara yang menjelajah ke serata dunia untuk menyiasat pelbagai kejadian aneh, pelik dan penuh misteri.

Buku komik Tintin bukan sahaja terjual sehingga 230 juta naskhah di seluruh dunia tetapi telah dialih bahasa ke dalam lebih daripada 80 bahasa termasuk bahasa Malaysia.

Penulis pernah memiliki koleksi lengkap siri pengembaraan Tintin tetapi ia kini tidak dapat dikesan lagi dan hilang entah ke mana. Penulis merasa menyesal yang tidak terhingga kerana kehilangan siri komik Tintin.

Apa yang membuatkan komik Tintin ini menarik perhatian kanak-kanak dan remaja ialah jalan ceritanya yang penuh pengembaraan dan lakaran lukisannya yang terang, jelas dan penuh warna warnai tanpa ada bayang-bayang.

Penciptanya Georges Remi seorang berbangsa Belgium dan menggunakan nama pena ‘Herge’ (sebut Her-je) sebagai signature pada kartun Tintin.

Walaupun siri komik Tintin pertama kali diterbitkan pada Januari 1929 dalam sebuah akhbar kanak-kanak berbahasa Perancis berjudul Le Petit Vingtième tetapi popularitinya terus kekal sehingga kini.

Bukti pengaruh Tintin masih kuat sehinggakan ia menarik perhatian pengarah dan penerbit terkenal Hollywood, Steven Spielberg untuk menerbit dan mengarahkan filem animasi mengenai pengembaraan Tintin berjudul The Adventures of Tintin: Secret of the Unicorn dalam bentuk 3D.

Filem penuh aksi pengembaraan ini akan mula ditayangkan di pawagam mulai 26 Oktober ini di Belgium, Perancis, United Kingdom, Rusia dan lain-lain negara Eropah. Filem Tintin akan ditayangkan di Asia dan Amerika Selatan pada bulan November kemudian disusuli Jepun mulai 1 Disember dan 23 Disember di Amerika Utara.

Penulis percaya semua pengemar Tintin termasuk penulis sendiri tidak sabar menunggu ketibaan filem pengembaraan Tintin ke Malaysia.

Di Belgium sendiri iaitu tempat kelahiran pencipta Tintin, sebuah muzium telah dibina sebagai penghormatan kepada Herge. Ia dibina di sebuah bandar kecil bernama Louvain-La-Neuve yang terletak 32 kilometer dari Brussels.

Muzium Herge itu bukan sahaja unik dari segi reka bentuknya tetapi memuatkan kesemua siri koleksi komik Tintin termasuk yang pernah diterbitkan dalam semua bahasa di dunia dan juga dalam akhbar-akhbar yang pernah menyiarkannya sebagai komik bersiri.

Dibina dengan kos AS$20 juta dan dibiayai sepenuhnya oleh isteri kedua Hergé, bernama Fanny, muzium ini turut mempamerkan kerja seni Herge yang lain dan bukan terhad kepada siri komik Tintin.

Muzium ini adalah manifestasi tertinggi terhadap hasil karya seni Herge yang pada ketika dia mencipta Tintin hanyalah berusia 21 tahun.

Sesuatu yang menarik yang wajar disebut di sini ialah, Herge telah pun melukis dan menceritakan tentang pengembaraan Tintin ke bulan - 15 tahun sebelum Neil Armstrong benar-benar melakukannya.

Ia menggambarkan daya imaginasi Herge yang tinggi dalam menghasilkan karya sehingga ceritanya menjadi kenyataan di kemudian hari.

Artikel Lain