suria

Bekas Akauntan Didakwa Perdaya RM101,000

SHAH ALAM: Seorang bekas akauntan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas tuduhan memperdayakan sebuah bank untuk menunaikan 15 keping cek bernilai RM101,000.

Tee Tuck Liang, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.

Dia didakwa memperdayakan Maybank cawangan Pekan Batu 11, Cheras untuk menunaikan cek Syarikat Simatron (M) Sdn Bhd yang telah dipalsukan tandatangan pengarah syarikat tersebut, Lim Yek Ping, 53.

Kesalahan itu didakwa dilakukan dalam waktu pejabat antara 12 Februari dan 9 April 2001 di pejabat Simatron yang terletak di alamat Lot 17.16, Bersatu Industri Park, Jalan Satu, Cheras Jaya, dekat sini. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Kamaruddin mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Peguam Ramkarpal Singh yang mewakili tertuduh merayu agar mahkamah mengurangkan jaminan sebanyak RM40,000 yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan atas alasan jumlah itu adalah terlalu tinggi.

Aslam menetapkan jaminan terhadap tertuduh pada jumlah RM15,000 dengan seorang penjamin berserta dengan syarat tambahan untuk melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada hari Sabtu pertama setiap bulan.

Beliau juga menetapkan 25 November depan untuk sebutan semula kes.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain