suria

Selangor Lantik Dua Firma Audit Operasi Syabas

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor melantik dua firma perakaunan untuk menjalankan kajian terperinci ke atas akaun dan operasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata ia adalah sebagai persediaan untuk mengelakkan berlakunya kekurangan bekalan air di Selangor tanpa bergantung kepada projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2).

Beliau berkata dua firma itu, Tetuan Atkins dan Tetuan Halcrow dilantik kerana kepakarannya menjalankan audit ke atas syarikat air di peringkat antarabangsa.

"Kajian itu dijalankan terutama dari segi penggunaan aset negeri termasuk loji pembersihan yang mana ia akan dipulihkan semula supaya kita punyai air terawat yang mencukupi.

"Buat masa sekarang banyak loji pemilikan kerajaan negeri yang diurus Syabas dalam keadaan yang tidak mengeluarkan air terawat secukupnya," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini Rabu. Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri mengambil sikap tidak boleh menunggu projek Langat 2 sebaliknya menyelesaikan masalah loji pembersihan di negeri itu dengan baik.

Beliau berkata berdasarkan laporan daripada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bekalan air mentah di negeri itu adalah lebih daripada mencukupi tetapi hanya kekurangan air terawat.

Sementara itu ketika ditanya sama ada kerajaan negeri menyokong perhimpunan Sejuta Umat (Himpun) 'Selamatkan Akidah' di Stadium Shah Alam, Sabtu ini, Abdul Khalid berkata pihaknya tidak masuk campur kerana ia dianjurkan oleh badan bukan kerajaan (NGO).

Bagaimanapun, beliau berkata pada hari yang sama kerajaan negeri menganjurkan karnival anak muda membabitkan mahasiswa di seluruh negara di Stadium Malawati yang terletak bersebelahan dengan Stadium Shah Alam.

Katanya program itu telah dirancang lebih awal serta tiada kaitan dengan perhimpunan itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain