suria

Inspektor Dipenjara, Denda Atas Tuduhan Rasuah

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dihukum penjara 24 bulan dan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah bernilai RM2,500, dua tahun lalu.

Hakim Rosbiahanin Ariffin membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes tersebut.

Rosbiahanin menjatuhkan hukuman penjara selama 24 bulan bagi pertuduhan pertama dan penjara 24 bulan bagi pertuduhan kedua dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula Rabu.

Beliau turut mengarahkan tertuduh, Masrizan Bujang, 28, ditambah hukuman enam bulan penjara bagi setiap pertuduhan itu sekiranya gagal membayar denda itu.

Mahkamah menolak permohonan Masrizan yang tidak diwakili peguam untuk menangguhkan pelaksananan hukuman penjara itu atas alasan tiada sebab-sebab istimewa.

Bagi pertuduhan pertama Masrizan, bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, didakwa telah secara rasuah memperoleh wang tunai RM1,000 daripada seorang juruteknik, Haibedul Malek Abdullah sebagai dorongan bagi menyelesaikan kes Haibedul di atas kesalahan mencuri pada 3.30 petang, 2 September 2009.

Tertuduh yang kini digantung tugas menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu bersetuju untuk menerima RM1,500 daripada kontraktor itu sebagai dorongan untuk menyelesaikan kesnya bagi kesalahan mencuri pada 2.15 petang, 29 Oktober 2009.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 7, Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Jalan Stadium di sini, mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Nizam Wan Omar. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain